Search This Blog

Monday, October 18, 2010

Thursday, October 14, 2010

Wednesday, October 13, 2010

BERSUAMIKAN BUNIAN 1

BERSUAMIKAN BUNIAN BAHAGIAN 1
Posted by Melur Jelita Posted on 11-10-2010
Category : mistik
Assalamualaikum Jelitawans dan Mr Jelitawans yang dihormati,
Masa kecil – kecil dulu, moyang ada bercerita tentang seorang anak dara yang tinggal di kampung yang sama dengan kami. Cerita mengenai anak dara ini sangat popular di kalangan orang – orang tua dan diperturunkan ceritanya dari generasi ke generasi. Menurut kata moyang, anak dara ini sangat terkenal di kampung dan masyhur namanya ke kampung – kampung berdekatan lain. Masyhur kerana terkenal sebagai anak dara pingitan dan sangat dijaga ketat oleh ke dua orang tuanya. Orangnya biasa – biasa saja tetapi manis dipandang, sawo matang, bersuara perlahan dan merdu, lemah lembut , sangat bersopan santun dan sentiasa tersenyum. Cuma bulu matanya yang melentik selalu menarik perhatian ibu – ibu dan perempuan – perempuan yang lain. Lentiknya luar biasa sekali dengan mata yang bercahaya, bersinar indah. Kata moyang, matanya begitu indah sekali, mungkin kerana berkat banyak mengaji dan menghafal Al Quran.
Jarang orang kampung dapat melihatnya apa lagi lelaki. Jangankan nak memandang tumit kakinya, sehelai rambutnya pun tidak kelihatan ( perumpamaan moyang saya) Rambutnya ditutup kemas dengan selendang panjang dan dialas lagi dengan kain sarung batik. Mukanya sentiasa ditutup dengan kain sarung batik tersebut, macam dijadikan tabir, hanya matanya saja yang kelihatan. Jalannya laju, pantas tetapi teratur, sedap mata memandang. Kepalanya ditundukkan sedikit dan matanya tepat ke depan, tidak menoleh kiri atau kanan. Sesekali dia dapat dilihat mengekor ibu , ibu saudara – ibu saudara dan sepupu – sepupu perempuannya ke majlis perkahwinan atau majlis keraian.

Kampung kami berdekatan dengan sungai. Jadi kebanyakan aktiviti dijalankan di sungai. Jalan perhubungan adalah lebih mudah melalui sungai dengan menggunakan perahu dari melalui jalan darat yang penuh dengan hutan belantara dan binatang buas. Penduduk kampung lebih suka mendirikan rumah di pinggir sungai dan jarak rumah mereka juga berdekatan. Demikian jugalah dengan rumah ke dua orang tua anak dara tersebut. Cuma jarak rumahnya disengajakan oleh ayahnya agak jauh dari rumah penduduk kampung lain.

Sungai juga dijadikan sumber rezeki. Aktiviti menangkap ikan dijalankan dengan aktif sekali. Bersimpang siur perahu – perahu melalui sungai tersebut dengan pelbagai macam urusan harian . Selain dari sumber rezeki, sumber air dan sebagai jalan perhubungan, sungai inilah tempat membasuh kain, mandi dan sebagainya tetapi anak dara ini telah diasuh oleh ibu bapanya, hanya melakukan di bilik air di rumah. Berbondong – bondong perempuan lain, berkemban gantung, membasuh baju, mandi dan menggosok daki di badan dengan selambanya di sungai . Satu pemandangan yang tidak manis bagi ayahnya. Maka dibinalah sebuah kamar mandi yang digunakan untuk mandi dan membasuh.
Dia tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa ke dua ibu bapanya. Hatta ibu saudara atau bapa saudara atau sepupu-sepupunya sendiri mengalami penapisan yang ketat jika ingin membawanya keluar ke mana-mana. Tidak ada hal mustahak maka tiadalah dia diizinkan keluar. Jadi kebanyakan masanya dihabiskan di rumah saja.
Walaupun demikian, anak dara ini begitu bahagia dengan kehidupannya. Dia tidak pernah membantah larangan ke dua ibu bapa dan engkar arahan ALLAH SWT. Seawal jam 4 pagi, dalam kegelapan , dia mula mengangkut air dari sungai untuk diisi dalam 3 tempayan besar di rumah. Diringi oleh ayahnya yang mengandar air dengan tenaga seorang lelaki. Sementara ibunya , sibuk di dapur menyiapkan sarapan untuk mereka bertiga, menanak pulut dimakan dengan ikan kering atau serunding ikan yang dibuat sendiri atau cukup dengan kelapa parut yang ditabur dengan sedikit garam. Sarapan yang sudah cukup mewah bagi mereka , penduduk kampung miskin yang hanya bergantung hidup dengan menangkap ikan , bercucuk tanam atau mencari hasil hutan.

Setelah air di tempayan penuh, anak dara ini mandi dan berwuduk. Dia menunaikan solat – solat sunat sebelum subuh, diikuti dengan solat subuh, berwirid dan mengaji Al Quran. Demikian juga ke dua orang tuanya. Rutin yang telah lama diamalkan dalam keluarga mereka. Selepas bersarapan, ke dua orang tuanya ke ladang, dia mula mengemas rumah dan membasuh baju di bilik air. Setelah siap baju dijemur di ampaian, memberi makan ayam itik, menyiram pokok di sekeliling rumah dan rumah dikemas, dia mengerjakan solat sunat dhuha dan menyambung bacaan Al Quran. Dia akan membaca sebanyak mungkin yang dapat, selepas itu cuba dihafalnya ayat – ayat suci tersebut.
Dia berhenti mengaji cuma untuk memasak makanan tengahari untuk orang tuanya. Setelah selesai, dia akan mengangkat kain di ampaian dan melipatnya sambil menunggu ke dua orang tuanya pulang. Kebiasaannya, orang tuanya akan pulang sekejap untuk makan bersama dan solat zohor berjemaah. Kemudian mereka akan keluar lagi menyambung kerja yang tidak selesai di ladang atau mereka akan ke sungai untuk menangkap ikan.
Setiap malam selepas solat maghrib berjemaah, ayahnya membuka kitab, mengajar ibu dan anak dara tentang Aqidah, Feqah, Tafsir, Hadis atau sejarah hidup nabi sementara menunggu Isyak. Selalunya, dia akan mengambil kesempatan untuk bersoal jawab dengan ayah mengenai hukum hakam Islam dengan pelbagai tajuk dibincangkan bersama. Begitulah rutin hidup mereka sekeluarga. Walaupun miskin tetapi hidup dalam kebahagiaan kerana cahaya keimanan yang tebal di hati mereka. Tidak pernah mengeluh susah atau sedih dengan keadaan hidup mereka.